Sumber Borneo Post online - Posted on February 15, 2011, Tuesday
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dikatakan akan mengunjungi Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Painggi Abang Muhammad Salahuddin Jumaat ini, kemungkinan bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal kesembilan ini.
Sumber Astana ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihak Pejabat Ketua Menteri telah menghubungi Astana beberapa minggu lalu untuk menetapkan tarikh pertemuan itu.
Menurut sumber itu, Ketua Menteri telah dijadualkan untuk menemui Tun Salahuddin pada 18 Februari ini.
Apapun tidak dapat dipastikan tujuan pertemuan itu.
Bagaimanapun, pemerhati politik percaya Taib menemui Tun Salahuddin pada tarikh itu untuk menyerahkan watikah pembubaran DUN, untuk diperkenankan.
Menurut mereka, Jumaat, 18 Februari adalah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak dikatakan amat sesuai untuk Ketua Menteri memohon pembubaran berkenaan.
Muhyiddin akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke negeri ini mulai 17 Februari sebelum singgah di Kuching pada petang keesokannya selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Debak dan Pusa, Betong, pagi itu.
Namun ada pula yang menolak kemungkinan pembubaran DUN pada Februari ini memandangkan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengadakan konvensyen pada 5 Mac depan.
Pemerhati itu percaya pembubaran mungkin akan dilakukan selepas persidangan itu untuk membolehkan pilihan raya diadakan pada penghujung Mac.
Kali terakhir negeri ini mengadakan pilihan raya ialah pada 2006 di mana BN menang dengan majoriti yang besar.
BN hanya kalah sembilan daripada 71 kerusi DUN pada pilihan raya yang diadakan pada Mei tahun itu.
Parti pemerintah itu hanya kalah di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Padungan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ngemah kepada Bebas dan Engkilili kepada Parti Kebangsaan Rakyat (SNAP).
0 comments:
Post a Comment