Sekadar Gambar Hiasan |
malam ini
diadakan majlis jamuan
terima kasih kepada semua
setelah tamat pilihanraya
inilah penghargaan
kepada yang telah bertungkus lumus
mernyibukkan diri
termasuk berkempen di kedai kopi
bijak mencari kesalahan sana sini
siang malam tak keruan
walau sekadar berlari sibuk sendiri
kerja entah apa atau
tak kerja apa-apa
tetap menuntut kupon makanan
malam ini marilah kita jamu selera
lupakan segala yang lalu
kerana di sini kita bersama, bersaudara
berterima kasih kepada semua
kerana masing-masing main peranan
untuk mencipta satu keadilan
saksikanlah keadilan
ciptaan kita bersama
susunan meja ikut pangkat
protokol, pengaruh dan kuasa
kandungan pinggan di atas meja
ikut gaji, dan kedudukan
dalam hieraki masyarakat adil
kalian yang menggunakan tenaga
kaki dan tangan sibuk sentiasa
mendayung sampan dan memikul bendera
makanlah di meja hujungan
duduklah di tepian
makan sahaja apa hidangan
air lauk dan tulang
diam-diamlah
kerana yang bising bererti
menderhaka dan tidak setia
setialah kerana mereka
berpangkat tinggi bergaji besar
menandatangani laporan sulit tahunan
bijak angkat mengangkat
memuji dan mengata
kerana segala kejayaan
yang baik mereka punya
yang teruk kalianlah
semua tak tau buat kerja
inilah dunia dan masyarakat kita
ciptaan bersama
hijau subur dengan pokok enau dan ampu-ampu
tegak bercabang kayu tiga
melilit, mencengkam dan melata
ke seluruh permukaan bumi
impian kita
tak apa, marilah kita makan
ini jamuan istimewa
ulamnya hati dan jantung
cukanya titis kesal perasaan
ingat jangan derhaka
malam ini malam kita
malam terima kasih namanya.
Kuching
26 April 1987
Disiarkan dalam buku Surat Putih terbitan DBP pada tahun 1991
0 comments:
Post a Comment